6 Cara Paling Berkesan Menabung Wang Secara Konsisten Setiap Bulan






SAMA ada seseorang itu bergaji besar atau kecil, bukan penentu banyaknya tabungan. Malah ada kajian menunjukkan mereka yang bergaji sederhana mungkin lebih banyak simpanan. Yang penting ada usaha konsisten.



Sebenarnya usaha menabung atau menyimpan bukanlah hanya tunggu ada wang lebih sahaja. Usaha ini perlukan disiplin dan perancangan kewangan yang bijak. Wanita selalunya diberikan tugas memegang kewangan keluarga; duit sekolah anak, duit dapur dan keperluan rumah yang lain. Tugas ini bukan setakat membayar bil tetapi memerlukan perancangan yang baik supaya tidaklah selalu menghadapi masalah tidak cukup wang. Usaha menabung membantu kamu mempunyai kewangan yang stabil. 




6 CARA BERKESAN MENABUNG



1. Menabung dengan konsisten

Pastikan kamu menabung setiap bulan iaitu sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pendapatan. Setelah menetapkan jumlah tabungan setiap bulan, pastikan jumlah itu disimpan dahulu sebelum mula membuat pembayaran bil dan pelbagai pinjaman yang ada.



Jika kamu tidak mampu menabung 10% daripada jumlah pendapatan, itu tidak mengapa. Jangan putus asa. Yang penting ialah mewujudkan tabiat menabung. Mungkin pada awalnya cuma tetapkan untuk jimat RM20 setiap minggu dan kamu akan ada simpanan RM80 setiap bulan. Teruskan menyimpan.



Lebih baik sekiranya boleh diatur untuk membuat potongan gaji dimasukkan terus ke dalam simpanan. Ada banyak institusi kewangan yang menawarkan khidmat ini, misalnya Tabung Haji dan ASB. Anda boleh memohon kepada majikan untuk membuat potongan ini.









2. Pantau pengeluaran ATM

Sentiasa awasi pengeluran wang melalui ATM. Bukan sekadar mengelak supaya ada orang menipu dan mengguna kad kamu, tetapi juga perlu kawal diri kamu sendiri beberapa kali dan berapa jumlah yang boleh dikeluarkan.



Sebaik-baiknya tetapkan dalam satu minggu hanya satu pengeluaran. Pastikan anda tahu jumlah yang diperlukan. Jangan terlalu banyak dan terlalu sedikit. Cukup untuk sekadar guna. Jika ada lebihan daripada wang itu, terus depositkan dalam akaun simpanan.









3. Buat belanjawan atau bajet keluarga

Dengan bajet kewangan keluarga kamu dapat pastikan bagaimana wang kamu digunakan sebaiknya untuk keluarga. Kamu dapat lihat corak bagaimana kamu berbelanja. Dari sini lebih mudah kamu lihat apakah perbelanjaan itu satu keperluan atau keinginan. Daripada analisis arah aliran itu kamu boleh cuba kurangkan atau hapuskan perbelanjaan yang hanya satu keinginan.



Sebabnya, perbelanjaan seumpama inilah yang menyebabkan kamu selalu ‘pokai’ setiap bulan. Dengan adanya bajet, kamu tahu bagaimana kamu membelanjakan wang dan kamu tahu cara menjimatkan wang, seterusnya dapat menyimpan lebihan wang berkenaan.









4. Sediakan senarai membeli-belah

Apabila keluar membeli barangan keperluan rumah, pastikan kamu sudah ada senarai barang yang hendak dibeli. Hanya beli barang yang ada dalam senarai! Jangan mudah tergoda dengan jualan murah sehingga kamu membeli barang yang bukan keperluan. Ingat, berbelanja barang keperluan bukan barang keinginan.



Ada juga yang beri petua, kalau hendak membeli-belah – pastikan perut kamu kenyang. Apabila perut lapar ada kecenderungan meningkatkan nafsu membeli dan ada kemungkinan kamu membeli barang yang tidak diperlukan. Ada kebenarannya petua ini– mungkin kamu perlu mencuba!









5. Kurangkan penggunaan kad kredit

Kad kredit kini semakin mudah diperoleh. Untuk kecemasan, kad kredit amat berguna tetapi kini penggunaannya amat berleluasa. Ia digunakan secara meluas untuk menggantikan wang. Jadi kamu sentiasa tidak sedar berapa banyak wang yang digunakan. Mudah sahaja membeli barang keinginan dan bukan keperluan.



Dengan bayaran minimum setiap bulan, hutang kita akan bertambah dan berpanjangan. Kadar faedah yang dikenakan juga tinggi. Jika tidak percaya cuba kira berapa kadar faedah yang dikenakan setiap bulan.



Sebagai contoh, katakan kamu membeli televisyen baru yang bernilai RM2000 menggunakan kad kredit dengan kadar faedah 18% setahun. Jika kamu hanya bayar kadar minimum setiap bulan, kamu mungkin mengambil masa selama 6 1⁄2 tahun untuk melupuskan hutang itu. Dan jumlah sebenar yang dibayar ialah RM3300. Bayangkan duit yang belebihan itu, sudah cukup untuk membeli sebuah mesin basuh baru! Jadi lebih baik kamu kumpul duit dan beli barang secara tunai. Atau gunakan kad kredit dan pastikan bayaran penuh dibuat dalam masa 20 hari ataupun sebelum dikenakan sebarang faedah.











6. Kurangkan keluar rumah

Mungkin ramai yang tidak dapat terima cadangan ini. Tetapi banyak kebenarannya. Jika kamu kurang keluar rumah, kamu tidak mungkin tergoda membeli barang- barang yang bukan keperluan. “Ala, window shopping je!” Ini selalunya tidak berlaku. Apabila kamu sudah keluar rumah pastinya banyak idea untuk kamu membeli. Lebih banyak godaannya dan lagi banyak alasan kenapa kamu mudah keluarkan duit ataupun kad kredit. Ini tidak termasuk lagi duit petrol, tempat letak kereta, makanan, minuman dan banyak lagi.



Jika perlu keluar, pastikan keluar ke tempat yang kamu boleh lebih berinteraksi dengan keluarga secara baik. Misalnya, pergi ke taman, berkelah atau ke tempat yang kurang godaan. Ada banyak cara untuk berekreasi bersama keluarga, tidak semestinya ke pusat membeli- belah sahaja.



Sebenarnya menabung bukanlah satu perkara yang sukar. Yang penting mesti tukar tabiat kepada tabiat kewangan yang lebih baik untuk diri kamu dan keluarga. Jadi pastikan minda kamu bersedia membuat perubahan. Semuanya terletak di tangan kamu – disiplin mesti kuat!





PASTIKAN
Minda dan azam bersedia untuk menabung.
Tetapkan sasaran menabung yang realistik.
Rancang kewangan keluarga.
Konsisten.
Kuatkan disiplin.


Sumber : intrend.com.my