Saya adalah seorang wanita yang dipaksa untuk berkahwin ketika usia saya 16 tahun, ketika itu saya mahu mengambil peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Saya lahir dalam persekitaran yang diselubungi aura dan perkara negatif. Saya melalui penderaan mental sejak kecil hingga ketika melangkah ke alam perkahwinan.
Saya mengambil masa untuk ubah minda daripada seorang wanita yang sedih kepada seorang yang lebih positif. Dalam blueprint saya, tiada perkara yang menyeronokkan.
Dan saya bijak menyembunyikan emosi. Benar, orang ramai atau pengikut saya di laman sosial melihat saya seorang yang ceria dan periang tetapi hakikatnya apa yang saya tempuhi hanya Allah yang mengetahui.
Namun bukankah ia sesuatu yang hipokrit?
Persekitaran saya dikelilingi oleh orang-orang yang ber kiran negatif dan saya mahu larikan diri daripadanya. Misalnya jika orang yang berjalan lambat, kurang idea melengah-lengahkan masa; saya akan berkawan dengan mereka tetapi persahabatan kami tidak akan kekal lama.
Pada saya, hidup ini ibarat perlumbaan. Kita sering berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu. Walaupun saya dikenali sebagai usahawan yang agak stabil daripada kedudukan kewangan, saya mampu hidup dengan gaya yang mewah tetapi bagi saya, banyak aura negatif yang boleh saya dapat kalau saya hidup bergaya mewah. Dan apa yang saya lakukan adalah, mengenal diri serta menyekat aura negatif daripada menyelubungi diri saya.
Apabila saya berkahwin secara paksa, terlalu banyak yang tidak kena. Ia membuatkan saya benci dengan diri sendiri, bekas suami, ibu bapa yang memaksa saya berkahwin. Saya tahu berdosa dengan perbuatan itu tetapi ambil kisah ini sebagai iktibar yang ingin saya sampaikan kepada masyarakat.
Tetapi kemudian saya ubah pemikiran. Saya memaafkan mereka yang pernah menzalimi saya ataupun yang mencorakkan hidup saya dengan cara yang salah. Susulan daripada itu, apa yang saya lihat adalah sebaik-baik perancang dan tempat bergantung adalah kepada Allah SWT.
Dipetik daripada blog rozitaibrahim.com: “Saya pernah melalui perceraian, kemiskinan dan tekanan hidup yang amat sukar. Usia muda bergelar janda miskin tanpa kelulusan menyukarkan bagi saya mencari rezeki. Sehinggakan ingin menyuap makanan sehari sekali pun saya terpaksa berkira-kira.” Jika boleh dikongsikan kisah di sebaliknya?
Itulah realiti alam perkahwinan yang saya lalui. Saya pernah dikurung bahkan pernah diugut ditetakkan parang. Saya dipaksa berkahwin ketika berumur 16 tahun dan mendapat anak sulung ketika berumur 17 tahun. Masya-Allah, terlalu banyak dugaan yang saya lalui.
Kehidupan saya ketika awal perkahwinan dahulu ibarat penjara. Dan terdetik di fikiran, bagaimana saya perlu keluar dari penjara (perkahwinan) ini sedangkan saya dikurniakan akal yang waras dan mampu berkira dengan baik. Saya berhak bersuara tetapi tiada siapa pun yang mahu mendengar.
Apabila saya kemukakan kes ke Mahkamah Syariah (yang terlalu rumit dan lama prosesnya), tetapi sudahnya saya yang terhukum dan terpaksa menanggung segalanya. Dahulunya saya adalah seorang pelajar yang bijak tetapi mengapa saya tidak bijak dan berjaya mengatur langkah dalam kehidupan? Diskriminasi keluarga telah melenyapkan segala.
Kata ibu bapa saya, anak perempuan tidak perlu belajar tinggi, ia tidak akan membawa saya ke mana. Rentetan itu saya bina sendiri jati diri dan kumpul ilmu pengetahuan walaupun tanpa segulung ijazah atau segenggam
sijil diploma.
sijil diploma.
Bagi saya, itu semua umpama sehelai kertas dan penghargaannya hanya saya sendiri yang merasainya. Saya terokai setiap ilmu menerusi pengalaman. Dan contoh terbaik, Sendayu Tinggi melambangkan misi dalam hidup saya.
Selepas apa yang berlaku, saya berkata kepada anak-anak saya. Walaupun hidup dalam kemiskinan, jangan sesekali meminta-minta kerana peluang untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik sentiasa ada di tangan kita. Apa yang penting adalah usaha tanpa mengenal erti putus asa. Dan menjadi seorang dewasa bukanlah mudah kerana saya perlu merancang semuanya demi keberlangsungan hidup anak-anak.
Saya tanamkan dalam minda agar sentiasa berfikiran dan mengambil energi positif. Benar, bukanlah mudah bergelar ibu tunggal apatah lagi perlu menyara hidup anak-anak yang masih kecil. Tetapi saya gunakan kelebihan diri saya untuk mengubah masa depan diri saya dan anak-anak. Bukan bermakna saya menggunakan kecantikan diri tetapi kecantikan yang saya maksudkan adalah kecantikan dalaman yang disulami dengan keikhlasan dan kejujuran.
Saya sentiasa mengingatkan anak-anak apa jua yang dimakan itu sebenarnya menentukan kita manusia yang bagaimana. Makanan itu membekalkan tenaga dan dari situ ia memberikan kita akal yang mencorakkan nafsu. Dan seharusnya nafsu itu perlu dikawal hala tujunya sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya.
Pasti sukar menempuh ujian dan dugaan ketika tempoh genting itu bukan? Jadi, apa yang menguatkan Bonda Rozita untuk kembali bangkit daripada kegagalan silam?
Apabila melalui kemiskinan, hidup serba kekurangan, saya renung ke dalam mata anak-anak saya. Saya tidak mahu anak-anak melalui hidup dalam kesusahan. Nak makan pun susah. Apabila anak-anak dapat makan ais krim, keseronokan mereka itu umpama menggenggam intan berlian. Dan pada saya hidup dalam kemiskinan memberi banyak tekanan.
Saya bukanlah seorang yang suka meminta-minta. Dan dalam masa sama, saya muhasabah diri. Berkata kepada diri sendiri, “Rozita, seronokkah hidup dalam keadaan begini?” Walaupun punya anak, saya tidak merasai nikmatnya menjadi ibu. Saya tidak seronok punya anak. Saya gagal menjadi ibu yang baik kerana tidak mampu memberikan tempat perlindungan yang sempurna, tidak mampu memberikan makanan apatah lagi pendidikan.
Namun saya tekad, selagi saya boleh ubah hala tuju diri dan cuba memberi kehidupan yang baik kepada anak-anak, saya harus lakukannya. Dan pilihan yang ada adalah, saya perlu keluar mencari rezeki demi membangunkan kehidupan saya dan anak-anak. Saya tidak bergantung hidup kepada bekas suami walaupun mereka dikurniakan Allah menerusi kudrat dan akal yang jauh lebih kuat daripada wanita.
Usai perceraian, saya bekerja keras untuk memperbetulkan segalanya. Benar, saya tidak mampu mengusung pedang bertempur di medan perang tetapi semangat saya umpama wirawati dan srikandi yang berjuang untuk memberi kehidupan kepada anak-anak yang masih kecil.
Saya melakukannya bukan kerana mengejar kekayaan tetapi mahu melihat betapa indahnya kehidupan ini. Saya juga bangkit kerana mahu beri anak-anak saya makan dan menyekolahkan mereka.
Saya gagal mencorak masa depan saya dalam aspek pendidikan dan saya tidak mahu anak-anak mewarisi nasib malang atau menempuh keperitan yang saya lalui dahulu.
Sebelum menceburi perniagaan produk kecantikan, apakah lapangan profesyen Bonda Rozita?
Saya bekerja sejak muda lagi. Saya tidak pernah berpeluang atau merasai diri ini disara oleh suami kerana saya yang menyara suami. Saya pernah menoreh getah, bekerja kilang, bekerja di pejabat sebagai kerani dan pelbagai pekerjaan asalkan ia memberi pulangan. Selagi pekerjaan itu memberi wang yang dapat saya kongsikan dengan anak- anak, itulah yang saya lakukan.
Bagaimana terdetik mahu menceburi lapangan perniagaan?
Saya mahu keluar daripada kepompong kemiskinan. Yalah, miskin tiada apa-apa. Tiada baju malah mahu makan pun disekat dan dicatu. Dan saya lihat hanya perniagaan yang mampu membantu mengubah hidup saya dan anak-anak ketika itu.
<<Tonton Video Temu Bual Eksklusif Bersama Pengasas Produk Sendayu Tinggi dan Jamu Malaya>>
Mengapa memilih perniagaan dalam bidang kecantikan dan tidak bidang lain?
Hanya dengan melihat alam sekeliling yang serba-serbi cantik menyuntik semangat saya. Melihat alam dan setiap pemberian Allah itu sudah cukup menggembirakan saya. Tambahan pula saya memang sukakan kecantikan.
Saya suka melihat orang yang cantik dan saya fokuskan pancaindera saya agar bisa menguasai apa yang saya suka. Dari situ saya belajar bagaimana untuk memanfaatkan bidang kecantikan agar ia dapat memberi sumber inspirasi dan jika bukan bidang kecantikan, pertanian adalah pilihan kedua.
Sumber : Intrend.com.my